Thursday, August 2, 2012

Cinta Sakinah

Assalamualaikum wbt , 


Sakinah merenung kembali masa silamnya yang telah lama ditinggalkan. Kini, Sakinah keseorangan menyendiri. Tiada lagi istilah 'couple' dalam hidupnya. Segalanya telah dibuang jauh. Akan tiba masanya untuk Sakinah berteman. Teman yang halal yang akan memimpin tangannya sepanjang jalan. Teman yang bergelar suami yang akan bersama Sakinah menempuh ranjau dan duri dunia.
Pada mata kasar manusia, Sakinah seorang gadis yang bertemankan sepi. Sepi pada pandangan kasar mereka namun hakikatnya Sakinah sangat bahagia bertemankan sinar dan kasih Ilahi. Sakinah tahu, dia telah mengambil keputusan yang tepat. Daripada berterusan membiarkan hati bertemankan lara yang tiada penghujung dan kasih yang mengundang dosa dan murka Si Khaliq, Sakinah rela melepaskan segalanya. Walaupun pada awalnya Sakinah begitu lara dan menangisi nasibnya namun akhirnya Sakinah sedar, Allah adalah As-Syifa, yang Maha Menyembuhkan.
Waktu itu, hatinya sakit sekali bak ditusuk oleh duri sembilu yang amat tajam. Perasaannya terguris dan hatinya luka berdarah tatkala menerima perkhabaran itu daripada Rafiq. Kepiluan yang dirasakan jua amat mendalam sekali. Kesedihan yang dilaluinya dirasakan amat panjang dan dipenuhi dengan deraian air mata. Hatinya sakit apabila diuji sekian rupa. Tidak putus-putus dirinya menangisi nasib diri. Sering sahaja Sakinah mengeluh andai sahaja aku tidak mengungkapkan kata-kata perpisahan ini, andai sahaja aku tidak mengenalinya dan sebagainya.
Fikirannya menjadi tidak rasional, hampir sahaja ucapan perpisahan mahu ditarik kembali. Tipu daya syaitan dan kemahuan nafsunya membuatkan Sakinah hampir hilang pertimbangan. Mujur, pertolongan Allah sampai kepadanya. Ia datang dalam pelbagai rupa. Keprihatinan yang ditunjukkan oleh adik-beradik dan sahabat-sahabat Sakinah membuatkan Sakinah kembali tersedar. Perlahan-lahan ucapan syukur dilafazkan ke hadrat Ilahi.
Sakinah kembali bersujud kepada Allah SWT. Di dalam sujud Sakinah menangis syahdu. Taubat dilakukan sesungguh hati. Pada Ilahi segala rasa yang terbuku di hati Sakinah luahkan. Kalamullah kembali diselak dan ditadabbur maksudnya. Bagaikan terasa Allah berkomunikasi dengannya. Hatinya dipagut sayu. Sakinah menangis teresak-esak sambil memeluk tafsir Al-Quran kesayangannya. Kini, Sakinah mengetahui betapa besar kasih sayang Allah terhadapnya.
Semenjak itu, hari-hari Sakinah ditemani tafsir itu. Tatkala hati tidak tenang, kalimah zikir dan istighfar Sakinah alunkan. Deraian air mata sentiasa berguguran setiap kali usai berdoa. Di dalam doanya Sakinah meminta kepada Ilahi supaya diteguhkan hati menghadapi hari depan yang mencabar. Adakala hati terlalu lelah, ingin sahaja Sakinah jeritkan sekuat hati akan lara yang mendiami hati. Laungan takbir sentiasa diulang-ulang Sakinah. Jika Sakinah terasa berat akan derita yang menghuni hati, Sakinah akan segera mengingati kesusahan insan lain yang lebih hebat derita darinya.
Setiap kali hati Sakinah gundah, tafsir itu yang sentiasa dibukanya. Dari situ Sakinah menemui perasaan damai yang tidak dapat Sakinah gambarkan. Sakinah mengucapkan syukur kepada Ilahi kerana telah menggantikan cinta yang lebih baik kepadanya. Itulah cinta Ilahi, cinta yang sentiasa dlimpahkan kepadanya tetapi jarang sekali dihargainya.
Doa tetap diutuskan buat Rafiq. Semoga Allah memberikan keteguhan iman kepadanya dan semoga Islam berkembang maju di negara tulip itu. Tidak pernah ada sekelumit dendam pun di hati Sakinah malah Sakinah sentiasa mengharapkan yang terbaik untuk Rafiq. Rafiq adalah saudara seagamanya. Tidak mungkin Sakinah mendoakan yang buruk-buruk buat Rafiq.
Sekian waktu telah berlalu, Sakinah kini lebih tenang dan sabar. Jika dahulunya Sakinah adalah seorang yang perengus namun kini tidak lagi. Ujian yang datang banyak menyedarkan Sakinah akan hakikat kehidupan dan rahmat Allah SWT. Kasihnya kini didekasikan buat Al–Khaliq dan kekasihnya, Rasulullah SAW.
"Ya Allah, ku dedikasikan seluruh hidupku untukmu. Tiada lara mahupun duka kini di dalam hatiku kerana telah ku pelajari nikmat ujian dan kesabaran. Tidak aku sesali diuji begini kerana kini aku lebih menghargai cintaMu terhadapku. Ya Ghafur, aku rela diuji begini andai dengan cara ini aku lebih mengenali dan mencintaimu. Aku pasrahkan segalanya kepadaMu. Ku serahkan urusan hidupku dan matiku hanya untukMu kerana hanya engkau Yang Maha Kuasa di atas segalanya."
-Petikan dari Iluvislam.com.
Saya ambil petikan cerita ini, kerana ia memang betul-betul sebiji berlaku dan wujud pada saya sekarang. "Aku tak kuat , akan tetapi , aku masih ada Allah." 
Sungguh agungnya Cinta Sakinah ni. YaAllah ya Tuhanku, terima kasih dan syukur ku panjatkan atas ujian yang kau beri di bulan yang mulia ini ya Allah, sesungguhnya kau masih lagi sangat menyayangi kami, alhamdulillah ya Allah. Dan di atas ujian yang telah kau berikan ini, tidak guna untuk aku menangis kerana untuk hal itu sahaja. Tapi aku perlu menangis kerana aku banyak meninggalkan suruhan Mu dan jarang untuk mengingat Engkau tapi hanya kerana leka dengan mengingati manusia. Ya Allah ya Tuhanku, sesungguhnya kami sangat berdosa padaMu kerana membiarkan hati ini melupakan Mu sejenak ya Allah, kau ampunilah dosa-dosa kami, kau taburilah hati kami dengan rahmat dan cahaya petunjuk Mu. Kau berilah kami mempunyai sifat bersungguh-sungguh untuk memiliki cinta dari Mu ya Allah sebelum kami mengejar cinta sesama sendiri. Kau bersihkanlah dan lindungilah hati kotor kami ini ya Allah. Sedetik rindu, kasih dan sayang aku pada manusia yang Engkau hadirkan satu masa dahulu, adalah satu dosa yang aku tak sengaja dan aku mohon keampunan dariMu ya Allah. Kau ampunilah kami ya Allah, ampunkanlah dosa-dosa kami ya Allah. Sesungguhnya kami benar-benar ingin memiliki Cinta Sakinah ini ya Allah ya Tuhanku.....................
Tolonglah ampunkan dosa-dosa hambaMu yang kerdil ini ya allah yang Maha Pengampun lagi Maha Penyayang.
Dan pada suatu detik atau saat nanti kau satukanlah hati kami dalam keadaan yang dihalalkan oleh syariat Mu ya Allah. Sesungguhnya Engkaulah pemberi rahmat untuk sekalian alam. Dan kami yakin akan akan janji Mu. InshaAllah. Amin ya Rabbal alamin.

Kepada seseorang yang pernah memberiku harapan suci, terima kasih kerana kejutkan hati  dan minda saya yang hampir luput dari mengingati Allah dan sepantas kilat awak menyedarkannya. Hidayah yang Allah beri pada awak sangatlah berharga dan susah untuk orang lain dapat, bersyukurlah kerana awak dipilih oleh Allah untuk memperoleh hidayahNya. Betapa takjubnya rencana Allah pada kita. Semoga awak berjaya meraih cinta Allah dan berlumba-lumba untuk menjadi ahli syurga. Dan doakan yang terbaik untuk saya jugak. Sama-samalah kita menuju cinta Lillahi Ta'ala. Syukran for everything Allah.